Monday, July 14, 2008

USUL UNDI TIDAK PERCAYA DITOLAK, MP PAKATAN RAKYAT PROTES KELUAR DEWAN

ISNIN, 14 Julai 2008 - Dewan Rakyat hari ini menyaksikan wakil rakyat Pakatan Rakyat keluar dewan beramai-ramai sebagai tanda protes kepada tindakan Speaker Parlimen, Pandikar Amin Mulia, menolak usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.

Usul tidak percaya itu yang diserahkan Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail (KeADILan-Permatang Pauh) diringi MP-MP Pakatan Rakyat kepada Speaker Parlimen di pejabatnya pada 10 Julai lalu ditolak atas alasan usul yang diketengahkan dibawah Peraturan 18(1) dan 18(2) telah dibahaskan bulan lalu dan tidak lagi relevan dalam mesyuarat kali ini. Pandikar juga beralasan bahawa ia ditolak kerana Pakatan Rakyat “menggunakan perkataan yang salah” dalam usul tersebut.

Menyanggah jawapan Speaker Parlimen, Dr Wan Azizah berkata usul tidak percaya ini terlalu penting untuk ditolak kerana ia adalah kesinambungan kepada keluhan rakyat yang jelak dengan kelemahan kerajaan Abdullah. Jelas beliau lagi, dengan kemelut inflasi yang semakin meruncing, Parlimen selaku badan legislatif harus melihat usul ini dengan serius.

Pandikar bagaimanapun menolak hujah tersebut dan sebaliknya berkata “jangan babitkan kuasa Speaker ke dalam kancah politik antara pembangkang dan kerajaan,” seraya menambah keputusannya adalah muktamad dan beliau tidak perlu menjelaskan mengapa beliau menolak usul tersebut.

Pakatan Rakyat bertindak keluar dan memboikot keseluruhan prosiding Parlimen hari ini selepas rayuan mempertimbangkan semula keputusan tersebut ditolak Speaker.

Dalam sidang akhbar sejurus selepas itu, Pakatan Rakyat menyatakan kekecewaan dengan keputusan Speaker menolak usul tergempar itu.

No comments: