Monday, July 14, 2008

PROVOKASI ATAU SEKADAR ALASAN UNTUK MENANGKAP ANWAR?

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Hrkh) - Kesesakan jalan raya yang melanda semua pintu masuk ke pusat bandaraya Kuala Lumpur didakwa berpunca dari provokasi yang ditimbulkan pihak polis yang diresahkan oleh Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi.

Ekoran daripada usul undi tidak percaya yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail Khamis lalu, pihak polis kemudian mendapatkan printah mahkamah dan kemudiannya ditampal sekitar bangunan parlimen bagi menghalang perhimpunan tersebut. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz mendakwa kononnya beliau mendapat maklumat pembangkang akan menganjurkan satu demonstrasi besar-besaran bagi mewujudkan kekecohan di Parlimen hari ini sebagai tanda sokongan terhadap usul tidak percaya Wan Azizah terhadap Abdullah Badawi.

Marah dengan khabar palsu tersebut, seorang pemanggil yang enggan dikenali menghubungi Harakahdaily menyatakan bahawa beliau hairan dengan tindakan pihak polis yang begitu ghairah untuk mengadakan sekatan jalan raya bagi menghalang perhimpunan yang tidak pernah diuar-uarkan oleh mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat. Tegasnya, pada kebiasaannya pihak polis tidak begitu cepat melatah ketika bertindak dalam isu-isu perhimpunan seperti ini. Bahkan dengan hanya berdasarkan kepada maklumat yang bertaraf half-truth atau desas-desus, polis telah bertindak nekad menyusahkan orang ramai dengan mengadakan sekatan jalan di kebanyakan jalan dan lebuh raya sejak petang kelmarin dan menyebabkan Jalan-jalan masuk ke Kuala Lumpur menjadi sesak akibat laluan yang dikecilkan.

"Apa yang paling menghairankan ialah tuduhan bahawa perhimpunan tersebut kononnya didalangi oleh Anwar dan Pakatan Rakyat walaupun pihak PAS dan DAP telah menafikan penglibatan mereka terhadap sebarang perhimpunan yang dimaksudkan," ujar seorang blogger di laman web hari ini. Dato' Seri Anwar Ibrahim, telah menyatakan kesalnya selepas pihak polis mengaitkan namanya dan Pakatan Rakyat dalam satu perintah mahkamah majistret yang diperolehi secara exparte oleh Ketua Polis Daerah Sentul bertarikh 13 Julai dan menganggap perintah tersebut sebagai satu 'fitnah dan penyalahgunaan proses undang-undang.'

Anwar berkata, perintah melarangnya dan ahli Pakatan Rakyat berkumpul di kawasan Parlimen hari ini yang dikeluarkan oleh Majistret Tuan Nazran Mohd Sham telah tidak diserahkan ke padanya tetapi hanya ditampal di luar rumahnya kelmarin dan salinan notis tersebut telah ditampal di tempat awam termasuk perhentian bas, stesen komuter, stesen LRT serta laluan tumpuan orang ramai. Tidak keterlaluan, wujud spekulasi yang menyebut bahawa dakwaan mengaitkan Anwar dijadikan alasan untuk menghalang usaha beliau mengambil alih pucuk kepimpinan kerajaan yang ada sekarang.

Terkini, Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Syed Hamid Albar telah memohon maaf atas kesesakan jalan raya akibat sekatan jalan raya oleh pihak polis dengan alasan untuk menjaga ketenteraman awam.
Sehingga berita ini ditulis, wartawan media alternatif seperti Harakah, Harakahdaily, Malaysiakini dan TVPas masih dihalang memasuki bangunan parlimen.

No comments: