Monday, July 28, 2008

ANAK LIONG SIK MENANG DI SEGAMBUT

Jul 27, 08 - Ling Hee Kiat, anak bongsu kepada bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik, hari ini memenangi jawatan Pengerusi MCA Bahagian Segambut dengan memperolehi majoriti besar mengalahkan timbalan pengerusi bahagian itu Tan Hoe Chieow.
Dalam pertandingan satu lawan satu itu, Ling meraih 117 undi dengan satu undi rosak sementara Tan hanya mendapat 62 undi.Ling, 36, berkata beliau bertanding merebut jawatan itu untuk bergiat cergas dalam bahagian utama parti itu berbanding sayap Pemuda. Sebelum ini beliau adalah Ketua Pemuda MCA Bahagian Segambut selama dua penggal.
"Saya berada di dalam sayap Pemuda lebih 12 tahun dan dua penggal sebagai Ketua Pemuda, saya fikir masanya adalah tepat," katanya kepada pemberita selepas membuang undi bagi jawatan itu pada Mesyuarat MCA Bahagian Segambut di Bukit Kiara di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau membuat keputusan untuk bertanding jawatan itu setelah Pengerusinya Datuk Khoo Lay Hin berhasrat untuk bersara setelah memegang jawatan itu selama 12 tahun selain untuk memberi peluang kepada muka, demikian menurut laporan Bernama.
Ketika ditanya sama ada pengaruh bapanya yang pernah menerajui parti itu selama 17 tahun membantu undiannya, beliau berkata faktor bapanya itu sentiasa berada di mana-mana. "Faktor bapa saya ada di mana-mana. Apapun, akhirnya saya perlu membuktikan kemampuan saya kerana orang akan melihat apa yang saya boleh buat atau tidak," katanya.
Proses pengundian itu bermula pada pukul 11.30 pagi dan berakhir kira-kira sejam kemudiannya.
SAYA CUBA SEDAYA UPAYA
Selain jawatan pengerusi, turut dipertandingkan ialah satu jawatan timbalan pengerusi, empat naib presiden, 10 ahli jawatankuasa dan 14 perwakilan ke Mesyuarat Agung Tahunan parti itu pada Oktober ini.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas kemenangannya yang diumumkan pengerusi pemilihan Datuk Ho Yoon Ping pada jam 2.45 petang tadi, Ling berkata beliau amat gembira kerana diberi peluang untuk memimpin parti di peringkat bahagian.
"Saya akan mencuba sedaya mungkin, kerja sudah bermula, sebelum saya duduk dan membuat rancangan untuk MCA Segambut," katanya. Katanya walaupun beliau masih muda, namun usia bukan penghalang untuk memimpin kerana yang penting adalah keupayaan untuk melakukan sesuatu kerja dan menyelesaikan sesuatu masalah.
"Pengaruh bapa bukan satu faktor yang besar di dalam kejayaan ini. Segambut merupakan bahagian di peringkat akar umbi yang memerlukan anda bercampur dan mengenali siapa anggota parti agar mereka memberikan anda undi, jadi saya fikir ia (faktor bapa) bukanlah faktor besar," katanya.
Sementara itu, Tan berkata beliau menerima keputusan itu kerana iadibuat dalam suasana yang demokratik dan sihat. "Saya masih di dalam MCA dan akan terus berkhidmat kepada parti kerana kekalahan itu tidak bermakna kita tidak boleh memberi sumbangan kerana perwakilan telah membuat keputusan dan kita perlu menerimanya," katanya.
HWA BENG TEWAS
Sementara itu, ahli jawatankuasa pusat MCA Datuk Lee Hwa Beng menerima kekalahan kali kedua dalam arena politiknya apabila gagal mempertahankan jawatan Ketua bahagian MCA Kelana Jaya yang disandangnya selama lima penggal dalam pemilihan bahagian parti itu hari ini. Dalam pilihanraya umum 8 Mac lepas, beliau tewas kepada calon PKR, Loh Goh Burne di kawasan Parlimen Kelana Jaya.
Dalam pemilihan parti hari ini, Lee yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang tewas kepada Ketua Wanita bahagian Ong Chong Sian. Lee mendapat 76 undi berbanding Ong sebanyak 82 undi. Ong semalam menang jawatan Ketua Wanita bahagian dalam pemilihan sayap Wanita dan Pemuda. Dalam pilihanraya lalu, Ong tewas di kawasan Dewan Undangan Negeri Subang Jaya kepada Hannah Yeoh dari DAP.

No comments: