Monday, July 28, 2008

SAPEIA MOHON BELA DIRI KES SERANG DR MAHATHIR

Jul 28, 08 - Ahli perniagaan Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff diperintah membela diri terhadap tuduhan menyebabkan kecederaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad secara menyembur bahan berbahaya, dua tahun lepas.
Majistret Azman Mustapha memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.Azman menetapkan 15 hingga 19 Dis ini untuk perbicaraan kes itu, lapor Bernama.
Nik Sapeia, 53, didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun, atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini pada 11 pagi 28 Julai 2006. Pendakwaan dijalankan oleh timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran dan Khairul Anuar Wahab, manakala Nik Sapeia diwakili peguam bela Zainal Abidin Mustaffa, Mohd Ilyas Mohd Noor dan Datuk Abdul Aziz Nawi.
Ketika membacakan keputusannya, Azman berkata beliau berpuas hati pihak pendakwaan telah berjaya mewujudkan kes prima facie itu dan kemudiannya memerintahkan tertuduh agar membela diri.
Nik Sapeia, yang berada di kandang tertuduh, dilihat beberapa kali menggelengkan kepalanya selepas Azman membacakan keputusan itu, lapor agensi berita itu lagi.Turut berada di mahkamah adalah presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M Kayveas dan lebih 1,000 penyokong parti itu.Nik Sapeia adalah timbalan presiden PPP dan juga pengerusi PPP Kelantan.

No comments: