Monday, July 14, 2008

SUARA KERAMAT UNTUK HALAU DOLLAH DARI UMNO DAN KERAJAAN

Jul 14, 08: Dalam satu wawancara Timbalan Perdana Menteri (TPM), Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dipetik sebagai berkata; "Kita tidak boleh paksa sebab Umno adalah parti demokratik, suara ahli parti ialah suara keramat, kita harus terima hakikat itu.

Atas sebab itulah dalam ucapan saya semasa perhimpunan (merujuk satu perjumpaan dengan ketua-ketua bahagian Umno dari seluruh negara) tersebut, saya merayu kepada semua ahli parti supaya menerima pelan peralihan kuasa ini.

Ini kerana itulah yang pada pendapat Presiden (Umno) dan saya, jalan terbaik untuk kita pastikan kekuatan dan memulihkan Umno dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang." Bila ditanya, maksudnya bahagian-bahagian masih ada kuasa untuk mencalonkan orang lain bagi kedua-dua jawatan berkenaan? Najib menjawab; "Bahagian pun masih ada kuasa berbuat demikian mengikut perlembagaan tetapi kita berharap mereka menerima pelan peralihan kuasa dan membuat pencalonan bersesuaian dengan pelan tersebut."

Dari kenyataan ini, apa yang boleh ditafsirkan ialah Najib sedaya upaya memberi gambaran kepada Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, bahawa dia seorang yang cukup 'baik' dan tidak pernah terfikir mahu mengganggu gugat kedudukan Abdullah, sebagai PM dan Presiden Umno.

Kelebihan Najib, kawan-kawannya dalam Umno, ada ketua-ketua bahagian sekarang, adalah rakan-rakannya semasa dia menjadi ketua Pemuda, ada juga kawan-kawannya yang seangkatannya ketika dia menjadi ketua Pemuda, kini adalah timbalan ketua bahagian dan naib ketua, selain - sekurang-kurangnya AJK bahagian, yang bila-bila, akan bersama-samanya apabila dia umumkan untuk bertanding sebarang jawatan dalam Umno.

Bila dia tidak mahu melawan Abdullah, bukan bermakna dia tidak mahu menerima pencalonan! Ini kena faham betul-betul. Politik Umno ini penuh dengan 'trick' dan strategi yang tidak terjangka.

Kenapa Najib tidak sanggup mengatakan di depan semua ketua-ketua bahagian, dalam perjumpaan itu, "saya tidak sedia menerima sebarang percalonan untuk jawatan lain, selain dari jawatan yang saya sandang sekarang!"

Apa jadi kalau Najib menerima pencalonan untuk jawatan Presiden, melebihi dari Abdullah, atau Abdullah tidak cukup percalonan untuk mempertahankan jawatannya sebagai Presiden? Ini juga boleh dikatakan sebagai "saya tidak akan melawan" Presiden. Apabila Presiden tergugur disebabkan tidak cukup percalonan, Najib akan menjadi Presiden Umno tanpa "melawan atau menentang sesiapa".

Jika bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, seperti yang disebut, Mohamad Ezam Mohd Nor bahawa Anwar pernah mengatakan Najib adalah seorang Exco (Pemuda) yang berwibawa dan berkebolehan, menunjukkan Najib, sedikit sebanyak mempunyai strategi licik seperti mana ketika Anwar mengutip percalonan menentang (Allahyarham) Tun Ghafar Baba.

Ghafar terpaksa meletakkan jawatan sebelum sampai tarikh pertandingan dan tidak menghadiri Perhimpunan Agung Umno tahun 1993, ketika Najib bersama-sama Anwar, Muhyiddin dan Muhammad Muhd Taib dalam satu team yang dikenali sebagai Team Wawasan. Bukan sedikit yang terkorban waktu itu, walaupun akhirnya Anwar sendiri 'dikorbankan' dari Umno.

Semua ini sejarah pertandingan dalam Umno. Walapun ia sudah berlalu lebih 15 tahun lalu, tetapi tiada siapa yang boleh menolak sejarah akan berulang. Abdullah sedaya upaya mahu 'bersara' apabila mencapai usia 70 tetapi startegi Abdullah dan strategi Najib tidak mungkin serupa.

Najib mungkin menjadi PM dalam usia yang cukup muda, tetapi tidak menjanjikan dia boleh menjadi PM yang paling lama kerana suasana politik sekarang, bukan menjanjikan satu kepastian BN akan kekal memerintah negara seperti 50 tahun lalu. Ketika Najib dilihat begitu selesa dengan Muhyiddin Mohd Yassin, Abdullah pula enggan menyebut nama sesiapa yang harus digandingkan dengan Najib.

Malahan, Abdullah kebelakangan ini dilihat kurang selesa dengan Muhyiddin yang agak lajak dalam membuat kenyataan soal peralihan kuasa. Bukan sahaja di media massa, malahan, Muhyiddin acap kali mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Umno, bercakap soal peralihan kuasa.

Khabarnya Muhyiddin tahu Abdullah tidak selesa dengannya tetapi dia menjangkakan Abdullah tidak boleh melakukan apa-apa terhadapnya seperti mana Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mampu melakukan apa-apa terhadap Dato' Seri Rafidah Aziz suatu ketika dahulu. Bukan sedikit yang marahkan Abdullah apabila beliau mengekalkan Rafidah dalam kabinetnya, tetapi sebaik sahaja selesai PRU 12, Rafidah digugurkan, tiada siapa yang memuji tindakan Abdullah itu.

Mungkin, isu keputusan PRU 12 yang kurang cemerlang menyebabkan orang terfikir tidak penting lagi berbincang soal kedudukan Rafidah. Justeru, hanya Rafidah dan segelintir pemimpin Wanita Umno merasakan Abdullah sebagai 'tidak wajar' melakukan Rafidah yang masih mengetuai pergerakan itu sebegitu rupa, tetapi ia tidak merupakan suatu isu yang menggugat.

Kini, Najib akan sentiasa dikerumuni, sedangkan Abdullah semakin dipinggiri. Semua ini dapat diukur ketika pemergian salah seorang dari mereka ke luar negara dan sekembalinya mereka. Jika Najib berangkat, melalui TUDM Subang, tiada pas masuk untuk pelawat diperlukan tetapi jika Abdullah, semua pelawat termasuk menteri, dikenakan syarat menggantung pas pelawat. Ada yang mengatakan, Najib adalah Menteri Pertahanan dan pegawai-pegawai Kementah akan memberikan kerjasama kepada Najib untuk memudahkan rakan-rakannya menghantar dan menyambutnya tetapi Abdullah Menteri Pertahanan dan tiada pegawai-pegawai dari JPM yang meminta TUDM Subang memberikan kerjasama terhadap kawan-kawan Abdullah yang mahu menghantar dan menyambutnya pulang dari luar negara.

Dalam tempoh sebulan dua ini, kita akan dapat melihat betapa rancaknya kempen-kempen dijalankan, untuk jawatan-jawatan tertinggi dalam parti. Abdullah tentunya sudah tidak mahu turun mencari sokongan tetapi Najib, yang mempunyai kawan-kawan dalam bahagian, siap sedia menjalankan tugas mencari pencalonan. Najib akan mengeluarkan lagi kenyataan demi kenyataan yang berbunyi sebagai rayuan supaya mencalonkan Abdullah sebagai Presiden dan dirinya sebagai timbalan tetapi dalam masa yang sama, Najib juga akan mengatakan "saya tidak dapat menolak suara keramat akar umbi yang merupakan kekuatan asas Umno.."

Suara keramat ini hanya untuk Najib dan bukan untuk Abdullah. Demokratik Umno kali ini mungkin bukan untuk 'pertandingan' sebaliknya untuk 'menghalau' seseorang dari kedudukannya. Masa akan menjawab segala-galanya dan Najib yang dikatakan seorang anak kepada pengasas Umno bukan sehari dua di dalam kancah politik. Jika dia boleh dapat jawatan Presiden Umno hari ini, kenapa harus dia tunggu esok atau 2010?

Muhyiddin yang sudah 'cukup gelisah' dengan kedudukannya sekarang tentunya bersiap sedia menjalankan tugas mencari pencalonan untuk Najib dan dirinya, sebagai Presiden dan timbalan. Sudah terang lagikan bersuluh, Muhyiddin mengatakan di Osaka baru-baru ini, ada pendapat akar umbi mengatakan 2010 terlalu lama untuk menyaksikan pelan peralihan kuasa ini.

No comments: